NEW DELHI: Mohamed Muizzu mengangkat sumpah sebagai presiden baharu Maldives pada Jumaat dalam majlis yang dihadiri ramai kenamaan asing.

Muizzu, 45, menggantikan Ibrahim Mohamed Solih yang berusia 61 tahun.

Majlis angkat sumpah itu diikuti dengan istiadat tembakan meriam dan nyanyian lagu kebangsaan.

Kabinet baharu akan mengangkat sumpah dan menyampaikan surat pelantikan di pejabat presiden pada sebelah petang.

Mereka yang menghadiri pelantikan presiden di ibu negara Male termasuk Presiden Sri Lanka Ranil Wickremesinghe, Naib Presiden Seychelles Ahmed Afif, Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Turkiye Mehmet Nuri Ersoy, Menteri Penerangan Bangladesh Hasan Mahmud dan wakil khas presiden UAE iaitu Menteri Kehakiman Abdullah Bin Sultan Bin Awad Al Nuaimi.

Turut hadir ialah wakil khas presiden China dan Ahli Majlis Negara Shen Yiqin, Menteri Sains Bumi India Kiren Rijiju, Menteri Penerangan sementara Pakistan Murtaza Solangi, utusan khas presiden Korea Selatan Park Heong-Joon, utusan khas perdana menteri Jepun iaitu naib menteri parlimen bagi hal ehwal luar Komura Masahiro, Setiausaha Agung Persatuan Kerjasama Serantau Asia Selatan Golam Sarwar dan setiausaha agung Komanwel Patricia Scotland.

-- BERNAMA